BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, December 23, 2009

Kelebihan Bulan Muharram

Memandangkan seluruh umat Islam baru sahaja menyambut Tahun Baru Hijrah, maka pada ruangan ini, ingin ana kongsikan sedikit info tentang kelebihan bulan Muharram. Semoga sesiapa yang membaca dapat kita manfaatkan. Kelebihan Bulan Muharram Berikutan kalendar Islam bermula pada 1 Muharam menyebabkan ia turut dikenali sebagai Awal Muharam, tetapi paling penting ia mengingatkan umat Islam kepada peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah. Perlu diingatkan, Muharam bukan sekadar bulan bagi permulaan tahun dalam kalendar Islam, sebaliknya termasuk dalam kumpulan empat bulan paling diberkati dan dimuliakan Allah SWT.

Firman Allah dalam surah at-Taubat ayat 36 bermaksud: "Sesungguhnya bilangan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia mencipta langit dan bumi, di antaranya empat bulan adalah 'haram' (iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab)."

Haram dalam bahasa Arab bererti dihormati dalam segala aspek iaitu bulan yang mengikut riwayat sahih ialah Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Bukan bermakna bulan lain tidak baik, tetapi keberkatan Allah SWT turun pada empat bulan itu.

Muharam penuh dengan peristiwa dalam sejarah tamadun Islam. Selama 30 hari itu penuh dengan pelbagai keistimewaan. Teristimewa adalah 10 hari pertama. Banyak peristiwa berlaku sejak zaman berzaman dalam sejarah Muharam yang dikenali dengan nama Asyura.Beberapa perkara penting berlaku pada Muharam mengikut pandangan cendekiawan ilmu dalam Islam, termasuk bulan ini Allah SWT mencipta syurga dan bumi, menyelamatkan nabi daripada kezaliman musuh dan mencipta Nabi Adam a.s.

Pada hari Asyura iaitu pada hari 10 Muharam pula bahtera Nabi Nuh a.s diselamatkan di Gunung Judi, Nabi Ibrahim a.s daripada api Namrud dan Nabi Musa a.s daripada Firaun dengan hari kiamat

Pada zaman Rasulullah saw ada seorang Yahudi menuduh seorang Muslim mencuri juga berlaku pada hari Asyura.
Asyura adalah hari paling mulia di dalam Muharam sebagaimana sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, "Apabila Nabiberhijrah ke Madinah, orang Yahudi di Madinah berpuasa pada 10 Muharam dan mereka mengatakan pada hari itulah Nabi Musa as diselamatkan daripada kezaliman Firaun. Nabi Musa as diselamatkan bersama sahabat baginda, tetapi Firaun dan askarnya lemas dalam sungai. Itu sebabnya kami berpuasa pada hari Asyura.

"Apabila baginda mendengar penjelasan mereka, baginda kemudian berkata dengan bangga bahawa kami paling berhak dan paling dekat kepada Nabi Musa as lebih daripada kamu sekelian dalam semua aspek. Maka Rasulullah menyuruh umat Islam berpuasa pada hari Asyura." (Hadis riwayat Abu Daud)

Ganjaran pahala
Selain berpuasa, umat Islam digalak melakukan pelbagai perkara sunat kerana Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala besar bagi yang mengamalkannyapada hari penuh berkat itu.

Mengikut ulama besar, Syeikh Abdul Rahman Asyfuri, 14 perkara sunat diamalkan pada hari Asyura (10 Muharam). Antaranya:

* Puasa sunat hari Asyura. Allah menjanjikan pahala laksana 1,000 kali haji, seribu umrah, seribu syahid dan diharamkan daripada neraka.
* Menjamu orang berbuka puasa. Allah memberi pahala, seperti member! sekalian umat Islam berbuka puasa.
* Sembahyang sunat empat rakaat. Niatnya "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah, baca surah Qul-huwallah 11 kali. Allah akan mengampunkan dosanya, walaupun berlarutan 50 tahun melakukannya.
* Membaca Qulhuwallah 1,000 kali. Allah akan memandangnya dengan pandangan rahmat di akhirat.
* Mandi sunat. Niatnya "Sahaja aku mandi sunat Asyura kerana Allah Taala." Allah swt memberi kesihatan yang baik dan tidak sakit berat, pada tahun itu.
* Memakai celak. Allah swt menjauhkan daripada sakit mata pada tahun itu.
* Memelihara kehormatan diri. Allah swt mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
* Bersedekah. Allah swt menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tidak berhenti-henti hingga ia mati dan diberi pahalaseperti bersedekah kepada fakir miskin di dunia ini.
* Menyapu kepala anak yatim. Allah swt mengurniakan sepohon di syurga bagi setiap helai rambut yang disapunya.
* Menunjukkan orang sesat ke jalan benar. Allah memenuhkan cahaya iman dalam hati-nya.
* Menahan marah. Allah swt memasukkannya ke dalam golongan orang yang reda.
* Memuliakan fakir miskin. Allah swt memuliakan-nya dalam kubur.
* Melapangkan belanja anak isteri. Allah swt akan melapangkan hidupnya pada tahun itu.
* Membaca surah al-Infithaar. Jika seseorang yang ditimpa musibah seperti demam membacanya ketika mandi, Insya-Allah akan sembuh.

Thursday, December 10, 2009

12 Waktu Mustajab Untuk Berdoa


Assalamualaikum kpd sume pengunjung... Pertamanya ana ingin mengucapkan jazakallah kpd sume yg mengikuti perkembangan blog ni, kerana masih ade lg hamba yg sudi utk bersama-sama berada di laman ni.. ana ingin memohon keampunan kpd saudara dan saudari kerana blog ni sudah lame tak ber'update'.. actually ade sedikit masalah teknikal yg berlaku sebelum ni, menyebabkan blog ni sepi tanpa info2 terbaru.. Insyaallah pihak kami akan memantau dari semasa ke semasa bg menghidupkan blog ini... kali ini ana ingin berkongsi sedikit info ttg waktu2 yg mustajab utk kita berdoa, semoga kita sentiasa menjadi umat yang peka dgn agama yang tinggi ini. Selain usaha dan tawakal, doa ialah satu-satunya cara untuk mencapai sesuatu hajat. Ada waktu-waktu tertentu paling mustajab untuk berdoa kepada ALLAH s.w.t. Di antaranya ialah:-

1. Semasa Lailatul-Qadar.
2. Ketika hujan turun.
3. Ketika memulakan dan setelah selesai solat.
4. Ketika menghadapi barisan musuh di medan peperangan.
5. Di tengah malam.
6. Di antara azan dan iqamah.
7. Ketika sujud dalam solat.
8. Ketika iktidal akhir dalam solat.
9. Ketika khatam (tamat) membawa 30 Juz al-Quran.
10. Sepanjang malam, paling utama sepertiga awal dan sepertiga akhir (waktu sahur).
11.Malam Jumaat dan sepanjang hari Jumaat kerana mengharapkan bersua dengan saat ijabah (diperkenankan doa) yang terletak di antara terbit fajar hingga terbenam matahari pada hari Jumaat.
12. Di antara waktu zuhur dan asar dan antara waktu asar dan maghrib.

Semoga info yg sedikit ini dpt kita manfaatkan bg menagih rahmat drpd Allah S.W.T

Thursday, October 15, 2009

SOUTHUL IKHWAN



Alhamdulillah syukur ke hadrat Yang Maha Esa kerana dengan adanya Ihtifal Ilmi pada kali ini maka tertubuhlah pasukan nasyid MTQN Melaka secara tidak rasmi. Pasukan ini telah dianggotai oleh pelajar semester 1, dan 3. Pasukan ini diberi nama Southul Ikhwan…. Selamat berhibur dengan persembahan mereka walaupun kedengaran agak sumbang, maklumlah 3hari je diorang ni berlatih, hehehehe………..


video video

IHTIFAL ILMI : MEDIUM PERSAINGAN DAN PENYATUAN PARA HUFFAZ




Para huffaz hari ini semakin terbuka fikiran mereka apabila mereka terdedah kepada jaringan ilmu yang semakin hari semakin terlerai daripada simpulan kehidupan mereka. Sewaktu teknologi hari ini berkembang mengikut peredaran masa, para huffaz di negara ini tidak terlepas daripada mengikuti perkembangan intelektual. Pada tanggal 12-15 Oktober 2009, satu musabaqah yang besar-besaran telah berjaya diadakan, yang mana penglibatannya melibatkan seluruh MTQN seluruh Malaysia dengan kerjasama JAKIM. Program yang pertama kali diadakan ini, telah berjaya dianjurkan oleh pihak Darul Quran, walaupun masih terdapat sedikit kekurangan. Namun acara-acara yang dipertandingkan mendapat sambutan yang amat positif daripada seluruh MTQ Negeri. Difahamkan terdapat beberapa MTQN tidak dapat menghantarkan peserta mereka disebabkan masalah-masalah yang kita fahami tidak mampu untuk dielakkan. Walau apapun, Ihtifal Ilmi yang pertama kali dianjurkan oleh Darul Quran ini, berjaya merapatkan ukhwah para huffaz semalaysia.

Program ini mempertandingkan beberapa acara, di antaranya adalah pertandingan hafazan, tilawah berQiraat, multimedia interaktif, debat ala parlimen, pidato, dan nasyid. Ihtifal Ilmi pada kali ini menekankan bahasa kedua dan ketiga dinegara ini, di mana, acara-acara yang dipertandingkan dikehendaki menggunakan Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Arab, yang mana penggunaannya semakin meluas oleh penduduk negara ini. Para peserta yang menyertai musabaqah ini, dilihat mampu memberikan mutu persembahan yang memberangsangkan di samping berjaya mempamerkan akhlak sebagai seorang huffaz. Ini adalah kerana penyertaan mereka dilihat bukan hanya mengejar hadiah semata-mata, tetapi perkara pokok yang diimpikan adalah merapatkan ukhwah sesama Muslim itu sendiri. Sebagai mana biasa, setiap program yang diadakan sudah pasti mempunyai matlamat yang ingin dicapai, Ihtifal Ilmi kali ini dilihat mampu mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan huffaz itu sendiri. Hal ini kerana mereka yang menyertai musabaqah ini, masing-masing menunjukkan semangat juang yang tinggi selain dapat merapatkan silaturrahim yang sedia terjalin. Walaupun dilihat mereka sentiasa berada dalam kelompok negeri mereka sendiri, tetapi secara tidak langsung para huffaz ini berjaya memecahkan sifat kenegerian mereka. Mereka sentiasa bertegur sapa dan mengamalkan sikap keramahan mereka lantas menjadikan ukhwah yang terbina bukan hanya pada ‘muka’ semata-mata. Perkara ini merupakan asas kepada penyatuan ummah yang mana dilihat imej umat islam pada hari ini sedikit tercalar disebabkan terlalu mementingkan diri sendiri dan juga kroni-kroni.

Kepada pihak penganjur, tahniah dan syabas diucapkan kerana telah berjaya menganjurkan satu medium yang mampu membawa penyatuan dalam kalangan huffaz khasnya dan sekalian muslimin amnya. Semoga program yang berfaedah seperti ini dapat dilaksanakan dengan jayanya pada tahun hadapan dan seterusnya. Diharap segala kecacatan dapat dibaiki dan segala kelemahan dapat diatasi dengan kebijaksnaan pihak pengurusan. Dengan ini pihak MTQN Melaka menyokong sepenuhnya usaha bagi melaksanakan program-program yang mampu memberikan faedah kepada umat islam sejagat.

Monday, September 14, 2009

PERJUANGAN DI SAAT MENANTI KEMENANGAN


PERJUANGAN DI SAAT MENANTI KEMENANGAN

Ingatkah kita ketika mana umat islam berperang pada Peperangan Badar Al-Kubra? Sudah tentu sesiapa sahaja yang mengingatinya pasti mengetahui bilakah terjadinya peperangan tersebut. Peperangan Badar merupakan peperangan pertama dalam sejarah Islam, yang mana berlakunya peperangan ini sewaktu umat Islam berada dalam keadaan lapar dan dahaga. Tetapi dengan semangat dan sifat tawakkal mereka kepada Allah, dengan IzinNya mereka diberi kemenangan oleh Allah S.W.T. Seharusnya kita dalam konteks hari ini, perlu menjadikan peristiwa ini sebagai satu muhasabah kepada diri kita, kerana walaupun kita diuji dengan bermacam-macam dugaan pada Bulan yang Mulia ini, kita tidak harus beralasan untuk tidak menunjukkan prestasi yang baik ketika berpuasa. Perkara ini umum kepada sesiapa sahaja yang bergelar muslim, baik seorang pekerja mahupun mereka yang bergelar pelajar. Pada tahun ini, sekali lagi para pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat dibawah kelolaan Jakim terpaksa mengharungi peperiksaan akhir pada bulan puasa. Tahniah dan syabas diucapkan. Tidak semua pelajar yang positif untuk mengambil peperiksaan di dalam keadaan mereka lapar dan dahaga, kerana mereka memberi seribu satu alasan, sebagai contoh, mereka tidak dapat berfikir secara total ketika letih, ada pula yang mengatakan mereka kekurangan masa untuk mengulang kaji pelajaran kerana sibuk menunaikan solat tarawikh pada malam hari. Perkara ini tidak seharusnya dijadikan sebagai punca kegagalan mereka untuk melakukan yang terbaik didalam peperiksaan. Hal ini kerana, bulan Ramadan sebagai mana diketahui umum merupakan bulan yang penuh keberkatan, di mana doa orang yang berpuasa itu, diterima doanya lebih-lebih lagi ketika hendak berbuka. Kerana ada hadis yang menyatakan bahawa:
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Marilah kita merebut peluang ini untuk sama-sama kita melonjakkan diri kita kearah kejayaan didunia dan akhirat. Semoga dengan keberkatan bulan Ramadan kita tidak mencari alasan untuk mengurangkan produktiviti kita untuk berjuang di jalan Allah, khusus nye kepada warga Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Melaka. Ketahuilah sahabat-sahabat sekalian, perjuangan kita amatlah kecil jika dibandingkan dengan perjuangan para sahabat ketika menentang kaum musyrikin dalam peperangan Badar. Namun kita tetap jua menyambut Hari kemenangan tersebut yang akan jatuh tidak lama lagi. Oleh itu, marilah sama-sama kita mencontohi semangat juang dan tawakkal mereka kepada Allah S.W.T, semoga kita juga sama-sama merasai kemenangan yang dinikmati oleh mereka. SELAMAT BERJUANG WAHAI SAHABAT SEKALIAN! SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN DI BULAN YANG MULIA INI… SEMOGA KITA SAMA-SAMA MENCAPAI KEJAYAAN.. AMIN…..

Wednesday, September 9, 2009

3 Tanda Dapat Lailatul Qadar

Allahdulillah, marilah sama-sama kita merafakkan kesyukuran kita kehadrat Allah S.W.T kerana kita telah dipertemukan dengan Ramadhan pada kali ini, dan pada ketika ini kita bakal memasuki fasa yang ketiga dalam bulan Ramadhan. Yang mana telah kita fahami bahawa fasa yang ketiga itu adalah pembebasan dari api neraka. dan didalam fasa ini jugalah terletaknya satu malam yang kelebihannya lebih baik daripada seribu bulan.


“SESUNGGUHNYA Kami menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatul al-Qadar. Dan, tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (al-Qadr:1-3)


Ramadan, al-Quran dan Lailatul Qadar mempunyai hubungan rapat antara satu dengan yang lain, sebagaimana diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah saw.

Selain dikenali sebagai bulan puasa dan bulan beribadat, Ramadan dipanggil juga bulan penurunan al-Quran (Nuzul Quran), seperti diterangkan dalam firman Allah bermaksud:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan serta perbezaan (antara yang benar dan yang salah)...” (al-Baqarah:185)

Pada ayat pertama surah al-Qadar menerangkan al-Quran diturunkan pada Lailatul al-Qadar, iaitu malam kemuliaan dan kebesaran-saling berkait di antara Ramadan, al-Quran dan Lailatul Qadar.

Justeru, dapat disimpulkan Lailatul al-Qadar itu ialah satu malam daripada bulan Ramadan. Tetapi apakah sebenarnya Lailatul Qadar, bila tarikh yang tepat dan apa kelebihannya?

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin, berkata ‘lailah’ itu bermaksud malam, manakala al-Qadar ialah ketentuan (nasib, ajal, rezeki dan jodoh pertemuan ditentukan).

“Jadi apabila dirangkaikan sebagai Lailatul Qadar bermaksud Malam Ketentuan dan pada malam ini malaikat diketuai Jibril turun ke bumi. Ada sesetengah mengatakan sebanyak 70,000 malaikat.

“Di sini juga dapat difahami Jibril tugasnya bukan setakat menyampaikan wahyu, bahkan setahun sekali pada Ramadan turun ke bumi,” katanya, sambil menjelaskan maksud ayat 4 dan 5 surah al-Qadr:

“Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

Malam al-Qadar disifatkan sebagai malam yang berkat. “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran". (Maksud ad-Dukhan:3)

Disebabkan mulianya malam al-Qadar Rasulullah saw menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan amal ibadat.

Ini diterangkan dalam hadis dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad saw sabdanya (bermaksud): “Sesiapa menghayati malam al-Qadar dengan mengerjakan solat (dan ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah, nescaya diampunkan dosanya yang lalu.” (Hadis sahih, Riwayat Bukhari).

Ibadat lain yang boleh dilakukan ialah membaca al-Quran, berzikir, beristighfar (memohon ampun), bertaubat dan berdoa.

Zamihan berkata, kelebihan malam al-Qadar bermula pada solat Maghrib, seterusnya Isyak (berjemaah) sehingga Subuh dan ibadat yang menjadi pengisian sepanjang tempoh itu bergantung kepada tahap keimanan masing-masing.

Tetapi malam yang berkat itu tidak dinyatakan secara lebih tepat pada hari tertentu. Tujuannya supaya Rasulullah saw dan umatnya memperbanyakkan ibadat dan amal kebajikan sepanjang bulan.

Rasulullah saw sendiri menghayati 10 malam terakhir Ramadan; mengerjakan ibadat (Qiamullail) dan beriktikaf di masjid, untuk menyambut kedatangan malam yang mulia itu.

“Nabi mengejutkan kaum keluarga untuk beribadat, Nabi fokus berzikir dan beriktikaf di masjid, tetapi malangnya kebanyakan masjid kita dikunci dan yang boleh digunakan untuk beriktikaf di sudut anjung saja,” katanya.

Dari Aisyah r.a., katanya: “Biasanya Rasulullah saw berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat pada 10 malam yang akhir (dari bulan Ramadan), berbanding dengan masa lain.” (Hadis sahih, riwayat Muslim).

Walaupun waktu tepat malam al-Qadar tidak diberitahu, Nabi saw ada memberikan beberapa isyarat mengenai ketibaannya, seperti dinyatakan dalam satu hadis.

Dari 'Aisyah r.a., bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): “Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam al-Qadar pada malam ganjil dalam 10 malam yang akhir, dari bulan Ramadan.” (Hadis sahih, riwayat Bukhari).

Malam yang ganjil ialah malam 21, 23, 25, 27 dan 29 dari bulan Ramadan. Dari keterangan hadis menunjukkan malam yang mulia itu berpindah-pindah (tidak statik) dalam lingkungan 10 malam akhir dari bulan Ramadan.

“Jika menurut Syeikh Abdul Qadir Jailani, malaikat akan mengelilingi dunia pada malam al-Qadar dan mengucapkan salam pada orang beriman yang melakukan ibadat.

“Tiga tanda orang yang mendapat ucapan salam malaikat, iaitu bulu roma meremang, mengalir air mata jernih dan hati berasa tenang sekali.

“Ulama mengatakan pada malam itu, kita akan berasa ada malaikat di sekeliling kita. Malaikat masuk ke semua rumah orang beriman, kecuali rumah yang ada berhala, rumah yang menjadi batu api, orang berkekalan dengan dosa besar dan derhaka pada ibu bapa.

“Lailatul Qadar adalah tawaran atau bonus yang paling tinggi daripada Allah untuk manusia, tetapi tidak semua yang dapat disebabkan halangan dari kita sendiri,” katanya.

Beliau menjelaskan, orang yang mendapat Lailatul Qadar ialah mereka yang meningkatkan ketakwaan, hubungan dengan Allah semakin meningkat, malah perangai berubah kepada lebih baik.

“Justeru, dalam kita mengharapkan Lailatul Qadar, seeloknya kita membuat persediaan, bermula dari pencarian ilmu, seterusnya dengan ilmu dapat beramal ibadat dan ibadat itu pula dengan hati ikhlas,” katanya.


Oleh itu, marilah kita sama-sama menghayati dan meningkatkan amal kita, mudah-mudahan kita dipertemukan dengan malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini.


Wallahuallam..