BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 21, 2010

Aurat : Brief explaination

Assalamualaikum sahabat-sahabat. Aurat lagi post kali ni. Boring je. Tapi tetap ana nak meulis bab ini. Kita ni sering lupa. Kalau tak diingatkan, lupa lagi. Kali ini ana nak bawakan pasal tudung dengan purdah. Yang mana satu menjadi keutamaan? Tudung atau purdah? Jawapannya mestilah tudung kan? Ana akan jawab "Tudung ni tak wajib tapi menutup aurat tu wajib". Jadi di sini, dah terang tang-tang kena suluh spotlight lagi yang tudung menjadi wajib. Tudung ni wajib bagi menutup aurat tapi yang dok kecoh sekarang pasal purdah pulak. Aih.. ni la kita kan, tak ambik cakna langsung. Samalah bila orang buat baik, nak jadi baik, diherdik, diperli..Kalau yang buat jahat tu, dah tak kisah, lali.. Jadi sampai bila orang nak berubah? Terus ke tajuk utama. Sebelum tu, kita try selami aurat tu dulu. Go on reading...

Aurat tu macam mana ye? Tak pe. Ana tak marah pun nak tanya soalan ni. Lebih baik bertanya dari terus tak tahu. Meh ana cerita sikit kat sahabat-sahabat dengan pengetahuan ana yang sedikit ni. Yang ada, kita share-share la. Ana guna ayat senang je.

“Aurat itu menutup sebahagian tubuh badan yang tidak boleh ditayangkan kepada orang lain secara terbuka. Macam tayang free dekat wayang.”

Di dalam al-quran, Allah sebut pasal aurat ini pertama sekali pada lelaki, bukan pada perempuan iaitu di dalam surah An-Nur, Allah berfirman:


"Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

Dalam ayat ini, orang pertama yang diingatkan tentang aurat ini ialah lelaki, bukannya perempuan. Maknanya, dalam hal aurat tidak adil jika kita hanya membicarakan tentang wanita. Sepatutnya lelaki perlu lebih tahu dan aware dengan perkara ini. Dah jelas lagi dalam al-quran tentang hal ni. Bukan boleh main-main ye.

Lepas ayat tentang aurat ini ditujukan kepada lelaki, barulah Allah tujukan perintah menuntup aurat ini kepada wanita. Firman Allah dalam surah yang sama tapi ayat ke 31:


“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka...”

Sahabat-sahabat tahu tak, arahan menutup aurat ini adalah antara kebaikan yang besar Allah berikan kepada wanita. Allah perintahkan sama ada lelaki mahupun wanita ni untuk menutup aurat untuk melindungi wanita dari macam-macam benda la. Nak tahu lebih lanjut, baca di sini.
Dalam ayat yang seterusnya dalam surah al-ahzab, Allah kata tujuan perintah menutup aurat supaya perempuan tidak diganggu dan mudah untuk kita kenal. Indahnya Islam.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab surah ke 33 ayat 59,


“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu..”

Ana rasa la kan, kalau tak ada arahan menutup aurat ni, gejala sosial yang dasyat akan jadi macam buat etika pakaian sendiri. Masyarakat akan hilang moral. Mungkin juga 'bogel' pun masyarakat boleh terima. Teruknya...

Masuk balik isu tudung tu. Boleh je kalau bertudung tapi berfesyen. Sape cakap tak boleh? Janganlah dok ranggi sangat. Tu je. Tak salah. Islam itu mudah tapi jangan memudahkan Islam. Itu je.

Ulang semula ayat tadi, satu ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak w ajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri. Pandai betul ye depa tu dan kita pulak yang dok terikut dengan gaya depa. Kalau depa ikut kita kan best!!

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup
aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun. Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas
betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Kita hurai pulak syarat pakaian wanita:
1. Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda
mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

2. Pakaian yang longgar.

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan
menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud:
"Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain 'qubtiyyah' (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: "Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu." Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: "Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya)."

Menurut Ibn Rusyd, 'qubtiyyah' ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

3. Pakaian yang tidak jarang.

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: "Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya."

Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

4. Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka."

5. Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: "Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

6. Tidak bertabarruj.

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatka nnya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama)." (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan
wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya
ilmu Islam sebenar.

Ada pulak yang jenis, 'malas nak ambik tahu, sebab kalau tak tahu takpa, tak dosa/kurang dosa, kalau dah tahu, buat jugak, lagi berdosa'. Konsep yang agak bodoh, ada je pikir macam tu kekadang. Macam kes, orang takut nak pi hospital buat check-up, takut dapat tahu penyakit itu ini.

Sebelum kupas isu lagi satu, ana suka dengan ayat dari blog pukul berapa datok harimau. Baca la ye.

Terjun pulak ke purdah. Ni pas dah setel pasal tudung.


Nak pakai purdah ni perlu ada kekuatan, kena istiqamah. maklum la zaman sekarang tak ramai yang berpurdah. Kena ada kekuatan dari segi mental. Kalau boleh, bila dah pakai, jangan buka2 lagi, takut fitnah pula. Kan susah kalau kena fitnah. Asalnya dari kita sendiri juga. Perlu berdasarkan Ilmu/Istiqamah dan kekuatan Bathin kerana banyak cubaan dan rintangan dari segala aspek kehidupan ditengah masyarakat modernisasi hari ini terutama.
"Innamal 'Amalu Binniyyat likullimri'in manawa"
"Sesungguhnya setiap perbuatan,pekerjaan dan Segala sesuatu semua berdasarkan niat "

Wahai hati yang berbolak-balik(gundah-gulana) tetapkan hatiku ini Ya Allah atas Perintah AgamaMu dan ketaatan kepadaMu Ya Allah! Amin.
Ni dipetik dari daripada web Bersama Alexanderwarthern,semoga bermanfaat dan menjelaskan sedikit sebanyak persoalan berkaitan purdah secara ringkas.Insya ALLAH.

Antara rasional berpurdah:

1. Diri lebih selamat kerana kurang menjadi perhatian lelaki. Kebanyakan kes cabul dan rogol dilakukan oleh orang yang kenal dengan mangsa, maksudnya yang dah biasa tengok wajahnya dan mengangankannya.
2. Mengamalkan salah satu sunnah.
3. Membuatkan kerja-kerja lebih pantas kerana boleh ke mana saja dengan segera tanpa perlu duduk depan cermin lebih daripada 3 minit : ) Untuk bersiap ke pasar malam contohnya, capai tudung labuh, kenakan purdah, siap. Tak perlu risau orang tengok muka pucat ke, gigi kuning ke, bedak di pipi rata ke tidak... macam-macamlah.
4. Diri akan diminati oleh lelaki-lelaki soleh untuk dibuat calon isteri. Lelaki-lelaki yang kurang/ tidak soleh dengan sendirinya tertapis. Mudah kan?
5. Kulit muka lebih cantik kerana tidak dimakan matahari.

Antara adab memakai purdah:

1. Ikhlas kerana Allah, bukan untuk ditunjuk-tunjuk atau berasa diri lebih hebat daripada orang lain.
2. Niatkan untuk mencontohi sunnah (pakaian isteri-isteri Nabi)
3. Istiqamah memakainya di tempat-tempat yang biasanya di pakai. Contoh, asal ke pasar saja pakai purdah. Maka hendalah istiqamah memakainya setiap kali ke pasar. Janganlah sekali pakai sekali tak pakai.

Boleh jika tidak dipakai di tempat kerja sebagaimana yang dicontohkan, iaitu sekolah kebangsaan. Hal ini kerana sudah menjadi undang-undang tempat kerja itu tidak membenarkan pemakaian purdah. Jika kita berkeras hendak berpurdah juga, datang pula mudarat kepada diri dan kerjaya kita, sedangkan tuntutan berpurdah umumnya bukanlah wajib.

Kedua, ulama berkhilaf pandangan tentang hukum berpurdah. Jadi purdah bukanlah muktamad wajib. Ketika mengerjakan haji pun kita tidak berpurdah.

Ketiga, tugas sebagai guru kepada pelajar-pelajar sekolah memang adakalanya memerlukan nampaknya gerak mulut/ bibir dan gaya muka untuk menyampaikan pengajaran. Lebih-lebih lagi jika mengajar ilmu bahasa.

Wallahualam.

Wednesday, December 23, 2009

Kelebihan Bulan Muharram

Memandangkan seluruh umat Islam baru sahaja menyambut Tahun Baru Hijrah, maka pada ruangan ini, ingin ana kongsikan sedikit info tentang kelebihan bulan Muharram. Semoga sesiapa yang membaca dapat kita manfaatkan. Kelebihan Bulan Muharram Berikutan kalendar Islam bermula pada 1 Muharam menyebabkan ia turut dikenali sebagai Awal Muharam, tetapi paling penting ia mengingatkan umat Islam kepada peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah. Perlu diingatkan, Muharam bukan sekadar bulan bagi permulaan tahun dalam kalendar Islam, sebaliknya termasuk dalam kumpulan empat bulan paling diberkati dan dimuliakan Allah SWT.

Firman Allah dalam surah at-Taubat ayat 36 bermaksud: "Sesungguhnya bilangan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia mencipta langit dan bumi, di antaranya empat bulan adalah 'haram' (iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab)."

Haram dalam bahasa Arab bererti dihormati dalam segala aspek iaitu bulan yang mengikut riwayat sahih ialah Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Bukan bermakna bulan lain tidak baik, tetapi keberkatan Allah SWT turun pada empat bulan itu.

Muharam penuh dengan peristiwa dalam sejarah tamadun Islam. Selama 30 hari itu penuh dengan pelbagai keistimewaan. Teristimewa adalah 10 hari pertama. Banyak peristiwa berlaku sejak zaman berzaman dalam sejarah Muharam yang dikenali dengan nama Asyura.Beberapa perkara penting berlaku pada Muharam mengikut pandangan cendekiawan ilmu dalam Islam, termasuk bulan ini Allah SWT mencipta syurga dan bumi, menyelamatkan nabi daripada kezaliman musuh dan mencipta Nabi Adam a.s.

Pada hari Asyura iaitu pada hari 10 Muharam pula bahtera Nabi Nuh a.s diselamatkan di Gunung Judi, Nabi Ibrahim a.s daripada api Namrud dan Nabi Musa a.s daripada Firaun dengan hari kiamat

Pada zaman Rasulullah saw ada seorang Yahudi menuduh seorang Muslim mencuri juga berlaku pada hari Asyura.
Asyura adalah hari paling mulia di dalam Muharam sebagaimana sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, "Apabila Nabiberhijrah ke Madinah, orang Yahudi di Madinah berpuasa pada 10 Muharam dan mereka mengatakan pada hari itulah Nabi Musa as diselamatkan daripada kezaliman Firaun. Nabi Musa as diselamatkan bersama sahabat baginda, tetapi Firaun dan askarnya lemas dalam sungai. Itu sebabnya kami berpuasa pada hari Asyura.

"Apabila baginda mendengar penjelasan mereka, baginda kemudian berkata dengan bangga bahawa kami paling berhak dan paling dekat kepada Nabi Musa as lebih daripada kamu sekelian dalam semua aspek. Maka Rasulullah menyuruh umat Islam berpuasa pada hari Asyura." (Hadis riwayat Abu Daud)

Ganjaran pahala
Selain berpuasa, umat Islam digalak melakukan pelbagai perkara sunat kerana Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala besar bagi yang mengamalkannyapada hari penuh berkat itu.

Mengikut ulama besar, Syeikh Abdul Rahman Asyfuri, 14 perkara sunat diamalkan pada hari Asyura (10 Muharam). Antaranya:

* Puasa sunat hari Asyura. Allah menjanjikan pahala laksana 1,000 kali haji, seribu umrah, seribu syahid dan diharamkan daripada neraka.
* Menjamu orang berbuka puasa. Allah memberi pahala, seperti member! sekalian umat Islam berbuka puasa.
* Sembahyang sunat empat rakaat. Niatnya "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah, baca surah Qul-huwallah 11 kali. Allah akan mengampunkan dosanya, walaupun berlarutan 50 tahun melakukannya.
* Membaca Qulhuwallah 1,000 kali. Allah akan memandangnya dengan pandangan rahmat di akhirat.
* Mandi sunat. Niatnya "Sahaja aku mandi sunat Asyura kerana Allah Taala." Allah swt memberi kesihatan yang baik dan tidak sakit berat, pada tahun itu.
* Memakai celak. Allah swt menjauhkan daripada sakit mata pada tahun itu.
* Memelihara kehormatan diri. Allah swt mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
* Bersedekah. Allah swt menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tidak berhenti-henti hingga ia mati dan diberi pahalaseperti bersedekah kepada fakir miskin di dunia ini.
* Menyapu kepala anak yatim. Allah swt mengurniakan sepohon di syurga bagi setiap helai rambut yang disapunya.
* Menunjukkan orang sesat ke jalan benar. Allah memenuhkan cahaya iman dalam hati-nya.
* Menahan marah. Allah swt memasukkannya ke dalam golongan orang yang reda.
* Memuliakan fakir miskin. Allah swt memuliakan-nya dalam kubur.
* Melapangkan belanja anak isteri. Allah swt akan melapangkan hidupnya pada tahun itu.
* Membaca surah al-Infithaar. Jika seseorang yang ditimpa musibah seperti demam membacanya ketika mandi, Insya-Allah akan sembuh.

Thursday, December 10, 2009

12 Waktu Mustajab Untuk Berdoa


Assalamualaikum kpd sume pengunjung... Pertamanya ana ingin mengucapkan jazakallah kpd sume yg mengikuti perkembangan blog ni, kerana masih ade lg hamba yg sudi utk bersama-sama berada di laman ni.. ana ingin memohon keampunan kpd saudara dan saudari kerana blog ni sudah lame tak ber'update'.. actually ade sedikit masalah teknikal yg berlaku sebelum ni, menyebabkan blog ni sepi tanpa info2 terbaru.. Insyaallah pihak kami akan memantau dari semasa ke semasa bg menghidupkan blog ini... kali ini ana ingin berkongsi sedikit info ttg waktu2 yg mustajab utk kita berdoa, semoga kita sentiasa menjadi umat yang peka dgn agama yang tinggi ini. Selain usaha dan tawakal, doa ialah satu-satunya cara untuk mencapai sesuatu hajat. Ada waktu-waktu tertentu paling mustajab untuk berdoa kepada ALLAH s.w.t. Di antaranya ialah:-

1. Semasa Lailatul-Qadar.
2. Ketika hujan turun.
3. Ketika memulakan dan setelah selesai solat.
4. Ketika menghadapi barisan musuh di medan peperangan.
5. Di tengah malam.
6. Di antara azan dan iqamah.
7. Ketika sujud dalam solat.
8. Ketika iktidal akhir dalam solat.
9. Ketika khatam (tamat) membawa 30 Juz al-Quran.
10. Sepanjang malam, paling utama sepertiga awal dan sepertiga akhir (waktu sahur).
11.Malam Jumaat dan sepanjang hari Jumaat kerana mengharapkan bersua dengan saat ijabah (diperkenankan doa) yang terletak di antara terbit fajar hingga terbenam matahari pada hari Jumaat.
12. Di antara waktu zuhur dan asar dan antara waktu asar dan maghrib.

Semoga info yg sedikit ini dpt kita manfaatkan bg menagih rahmat drpd Allah S.W.T

Thursday, October 15, 2009

SOUTHUL IKHWAN



Alhamdulillah syukur ke hadrat Yang Maha Esa kerana dengan adanya Ihtifal Ilmi pada kali ini maka tertubuhlah pasukan nasyid MTQN Melaka secara tidak rasmi. Pasukan ini telah dianggotai oleh pelajar semester 1, dan 3. Pasukan ini diberi nama Southul Ikhwan…. Selamat berhibur dengan persembahan mereka walaupun kedengaran agak sumbang, maklumlah 3hari je diorang ni berlatih, hehehehe………..


IHTIFAL ILMI : MEDIUM PERSAINGAN DAN PENYATUAN PARA HUFFAZ




Para huffaz hari ini semakin terbuka fikiran mereka apabila mereka terdedah kepada jaringan ilmu yang semakin hari semakin terlerai daripada simpulan kehidupan mereka. Sewaktu teknologi hari ini berkembang mengikut peredaran masa, para huffaz di negara ini tidak terlepas daripada mengikuti perkembangan intelektual. Pada tanggal 12-15 Oktober 2009, satu musabaqah yang besar-besaran telah berjaya diadakan, yang mana penglibatannya melibatkan seluruh MTQN seluruh Malaysia dengan kerjasama JAKIM. Program yang pertama kali diadakan ini, telah berjaya dianjurkan oleh pihak Darul Quran, walaupun masih terdapat sedikit kekurangan. Namun acara-acara yang dipertandingkan mendapat sambutan yang amat positif daripada seluruh MTQ Negeri. Difahamkan terdapat beberapa MTQN tidak dapat menghantarkan peserta mereka disebabkan masalah-masalah yang kita fahami tidak mampu untuk dielakkan. Walau apapun, Ihtifal Ilmi yang pertama kali dianjurkan oleh Darul Quran ini, berjaya merapatkan ukhwah para huffaz semalaysia.

Program ini mempertandingkan beberapa acara, di antaranya adalah pertandingan hafazan, tilawah berQiraat, multimedia interaktif, debat ala parlimen, pidato, dan nasyid. Ihtifal Ilmi pada kali ini menekankan bahasa kedua dan ketiga dinegara ini, di mana, acara-acara yang dipertandingkan dikehendaki menggunakan Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Arab, yang mana penggunaannya semakin meluas oleh penduduk negara ini. Para peserta yang menyertai musabaqah ini, dilihat mampu memberikan mutu persembahan yang memberangsangkan di samping berjaya mempamerkan akhlak sebagai seorang huffaz. Ini adalah kerana penyertaan mereka dilihat bukan hanya mengejar hadiah semata-mata, tetapi perkara pokok yang diimpikan adalah merapatkan ukhwah sesama Muslim itu sendiri. Sebagai mana biasa, setiap program yang diadakan sudah pasti mempunyai matlamat yang ingin dicapai, Ihtifal Ilmi kali ini dilihat mampu mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan huffaz itu sendiri. Hal ini kerana mereka yang menyertai musabaqah ini, masing-masing menunjukkan semangat juang yang tinggi selain dapat merapatkan silaturrahim yang sedia terjalin. Walaupun dilihat mereka sentiasa berada dalam kelompok negeri mereka sendiri, tetapi secara tidak langsung para huffaz ini berjaya memecahkan sifat kenegerian mereka. Mereka sentiasa bertegur sapa dan mengamalkan sikap keramahan mereka lantas menjadikan ukhwah yang terbina bukan hanya pada ‘muka’ semata-mata. Perkara ini merupakan asas kepada penyatuan ummah yang mana dilihat imej umat islam pada hari ini sedikit tercalar disebabkan terlalu mementingkan diri sendiri dan juga kroni-kroni.

Kepada pihak penganjur, tahniah dan syabas diucapkan kerana telah berjaya menganjurkan satu medium yang mampu membawa penyatuan dalam kalangan huffaz khasnya dan sekalian muslimin amnya. Semoga program yang berfaedah seperti ini dapat dilaksanakan dengan jayanya pada tahun hadapan dan seterusnya. Diharap segala kecacatan dapat dibaiki dan segala kelemahan dapat diatasi dengan kebijaksnaan pihak pengurusan. Dengan ini pihak MTQN Melaka menyokong sepenuhnya usaha bagi melaksanakan program-program yang mampu memberikan faedah kepada umat islam sejagat.

Monday, September 14, 2009

PERJUANGAN DI SAAT MENANTI KEMENANGAN


PERJUANGAN DI SAAT MENANTI KEMENANGAN

Ingatkah kita ketika mana umat islam berperang pada Peperangan Badar Al-Kubra? Sudah tentu sesiapa sahaja yang mengingatinya pasti mengetahui bilakah terjadinya peperangan tersebut. Peperangan Badar merupakan peperangan pertama dalam sejarah Islam, yang mana berlakunya peperangan ini sewaktu umat Islam berada dalam keadaan lapar dan dahaga. Tetapi dengan semangat dan sifat tawakkal mereka kepada Allah, dengan IzinNya mereka diberi kemenangan oleh Allah S.W.T. Seharusnya kita dalam konteks hari ini, perlu menjadikan peristiwa ini sebagai satu muhasabah kepada diri kita, kerana walaupun kita diuji dengan bermacam-macam dugaan pada Bulan yang Mulia ini, kita tidak harus beralasan untuk tidak menunjukkan prestasi yang baik ketika berpuasa. Perkara ini umum kepada sesiapa sahaja yang bergelar muslim, baik seorang pekerja mahupun mereka yang bergelar pelajar. Pada tahun ini, sekali lagi para pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat dibawah kelolaan Jakim terpaksa mengharungi peperiksaan akhir pada bulan puasa. Tahniah dan syabas diucapkan. Tidak semua pelajar yang positif untuk mengambil peperiksaan di dalam keadaan mereka lapar dan dahaga, kerana mereka memberi seribu satu alasan, sebagai contoh, mereka tidak dapat berfikir secara total ketika letih, ada pula yang mengatakan mereka kekurangan masa untuk mengulang kaji pelajaran kerana sibuk menunaikan solat tarawikh pada malam hari. Perkara ini tidak seharusnya dijadikan sebagai punca kegagalan mereka untuk melakukan yang terbaik didalam peperiksaan. Hal ini kerana, bulan Ramadan sebagai mana diketahui umum merupakan bulan yang penuh keberkatan, di mana doa orang yang berpuasa itu, diterima doanya lebih-lebih lagi ketika hendak berbuka. Kerana ada hadis yang menyatakan bahawa:
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Marilah kita merebut peluang ini untuk sama-sama kita melonjakkan diri kita kearah kejayaan didunia dan akhirat. Semoga dengan keberkatan bulan Ramadan kita tidak mencari alasan untuk mengurangkan produktiviti kita untuk berjuang di jalan Allah, khusus nye kepada warga Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Melaka. Ketahuilah sahabat-sahabat sekalian, perjuangan kita amatlah kecil jika dibandingkan dengan perjuangan para sahabat ketika menentang kaum musyrikin dalam peperangan Badar. Namun kita tetap jua menyambut Hari kemenangan tersebut yang akan jatuh tidak lama lagi. Oleh itu, marilah sama-sama kita mencontohi semangat juang dan tawakkal mereka kepada Allah S.W.T, semoga kita juga sama-sama merasai kemenangan yang dinikmati oleh mereka. SELAMAT BERJUANG WAHAI SAHABAT SEKALIAN! SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN DI BULAN YANG MULIA INI… SEMOGA KITA SAMA-SAMA MENCAPAI KEJAYAAN.. AMIN…..