BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, October 15, 2009

IHTIFAL ILMI : MEDIUM PERSAINGAN DAN PENYATUAN PARA HUFFAZ




Para huffaz hari ini semakin terbuka fikiran mereka apabila mereka terdedah kepada jaringan ilmu yang semakin hari semakin terlerai daripada simpulan kehidupan mereka. Sewaktu teknologi hari ini berkembang mengikut peredaran masa, para huffaz di negara ini tidak terlepas daripada mengikuti perkembangan intelektual. Pada tanggal 12-15 Oktober 2009, satu musabaqah yang besar-besaran telah berjaya diadakan, yang mana penglibatannya melibatkan seluruh MTQN seluruh Malaysia dengan kerjasama JAKIM. Program yang pertama kali diadakan ini, telah berjaya dianjurkan oleh pihak Darul Quran, walaupun masih terdapat sedikit kekurangan. Namun acara-acara yang dipertandingkan mendapat sambutan yang amat positif daripada seluruh MTQ Negeri. Difahamkan terdapat beberapa MTQN tidak dapat menghantarkan peserta mereka disebabkan masalah-masalah yang kita fahami tidak mampu untuk dielakkan. Walau apapun, Ihtifal Ilmi yang pertama kali dianjurkan oleh Darul Quran ini, berjaya merapatkan ukhwah para huffaz semalaysia.

Program ini mempertandingkan beberapa acara, di antaranya adalah pertandingan hafazan, tilawah berQiraat, multimedia interaktif, debat ala parlimen, pidato, dan nasyid. Ihtifal Ilmi pada kali ini menekankan bahasa kedua dan ketiga dinegara ini, di mana, acara-acara yang dipertandingkan dikehendaki menggunakan Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Arab, yang mana penggunaannya semakin meluas oleh penduduk negara ini. Para peserta yang menyertai musabaqah ini, dilihat mampu memberikan mutu persembahan yang memberangsangkan di samping berjaya mempamerkan akhlak sebagai seorang huffaz. Ini adalah kerana penyertaan mereka dilihat bukan hanya mengejar hadiah semata-mata, tetapi perkara pokok yang diimpikan adalah merapatkan ukhwah sesama Muslim itu sendiri. Sebagai mana biasa, setiap program yang diadakan sudah pasti mempunyai matlamat yang ingin dicapai, Ihtifal Ilmi kali ini dilihat mampu mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan huffaz itu sendiri. Hal ini kerana mereka yang menyertai musabaqah ini, masing-masing menunjukkan semangat juang yang tinggi selain dapat merapatkan silaturrahim yang sedia terjalin. Walaupun dilihat mereka sentiasa berada dalam kelompok negeri mereka sendiri, tetapi secara tidak langsung para huffaz ini berjaya memecahkan sifat kenegerian mereka. Mereka sentiasa bertegur sapa dan mengamalkan sikap keramahan mereka lantas menjadikan ukhwah yang terbina bukan hanya pada ‘muka’ semata-mata. Perkara ini merupakan asas kepada penyatuan ummah yang mana dilihat imej umat islam pada hari ini sedikit tercalar disebabkan terlalu mementingkan diri sendiri dan juga kroni-kroni.

Kepada pihak penganjur, tahniah dan syabas diucapkan kerana telah berjaya menganjurkan satu medium yang mampu membawa penyatuan dalam kalangan huffaz khasnya dan sekalian muslimin amnya. Semoga program yang berfaedah seperti ini dapat dilaksanakan dengan jayanya pada tahun hadapan dan seterusnya. Diharap segala kecacatan dapat dibaiki dan segala kelemahan dapat diatasi dengan kebijaksnaan pihak pengurusan. Dengan ini pihak MTQN Melaka menyokong sepenuhnya usaha bagi melaksanakan program-program yang mampu memberikan faedah kepada umat islam sejagat.

0 comments: