BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, September 14, 2009

PERJUANGAN DI SAAT MENANTI KEMENANGAN


PERJUANGAN DI SAAT MENANTI KEMENANGAN

Ingatkah kita ketika mana umat islam berperang pada Peperangan Badar Al-Kubra? Sudah tentu sesiapa sahaja yang mengingatinya pasti mengetahui bilakah terjadinya peperangan tersebut. Peperangan Badar merupakan peperangan pertama dalam sejarah Islam, yang mana berlakunya peperangan ini sewaktu umat Islam berada dalam keadaan lapar dan dahaga. Tetapi dengan semangat dan sifat tawakkal mereka kepada Allah, dengan IzinNya mereka diberi kemenangan oleh Allah S.W.T. Seharusnya kita dalam konteks hari ini, perlu menjadikan peristiwa ini sebagai satu muhasabah kepada diri kita, kerana walaupun kita diuji dengan bermacam-macam dugaan pada Bulan yang Mulia ini, kita tidak harus beralasan untuk tidak menunjukkan prestasi yang baik ketika berpuasa. Perkara ini umum kepada sesiapa sahaja yang bergelar muslim, baik seorang pekerja mahupun mereka yang bergelar pelajar. Pada tahun ini, sekali lagi para pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat dibawah kelolaan Jakim terpaksa mengharungi peperiksaan akhir pada bulan puasa. Tahniah dan syabas diucapkan. Tidak semua pelajar yang positif untuk mengambil peperiksaan di dalam keadaan mereka lapar dan dahaga, kerana mereka memberi seribu satu alasan, sebagai contoh, mereka tidak dapat berfikir secara total ketika letih, ada pula yang mengatakan mereka kekurangan masa untuk mengulang kaji pelajaran kerana sibuk menunaikan solat tarawikh pada malam hari. Perkara ini tidak seharusnya dijadikan sebagai punca kegagalan mereka untuk melakukan yang terbaik didalam peperiksaan. Hal ini kerana, bulan Ramadan sebagai mana diketahui umum merupakan bulan yang penuh keberkatan, di mana doa orang yang berpuasa itu, diterima doanya lebih-lebih lagi ketika hendak berbuka. Kerana ada hadis yang menyatakan bahawa:
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Marilah kita merebut peluang ini untuk sama-sama kita melonjakkan diri kita kearah kejayaan didunia dan akhirat. Semoga dengan keberkatan bulan Ramadan kita tidak mencari alasan untuk mengurangkan produktiviti kita untuk berjuang di jalan Allah, khusus nye kepada warga Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Melaka. Ketahuilah sahabat-sahabat sekalian, perjuangan kita amatlah kecil jika dibandingkan dengan perjuangan para sahabat ketika menentang kaum musyrikin dalam peperangan Badar. Namun kita tetap jua menyambut Hari kemenangan tersebut yang akan jatuh tidak lama lagi. Oleh itu, marilah sama-sama kita mencontohi semangat juang dan tawakkal mereka kepada Allah S.W.T, semoga kita juga sama-sama merasai kemenangan yang dinikmati oleh mereka. SELAMAT BERJUANG WAHAI SAHABAT SEKALIAN! SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN DI BULAN YANG MULIA INI… SEMOGA KITA SAMA-SAMA MENCAPAI KEJAYAAN.. AMIN…..

0 comments: